Bab 2
Sebaik saja tiga beranak itu beredar pulang, Rita bingkas bangun sambil menarik tangan Zara. Mereka kemudian duduk di hadapan Pak Man. Zara menunduk dan membiarkan Rita yang berbicara. Tubuhnya masih menggeletar bila mengenangkan aksi Pak Man tadi. Dia hampir membuka langkah seribu jika Rita tidak menarik kuat tangannya memaksa dia duduk semula.
"Ada bawa limau nipis dan daun sirih bertemu urat?" tanya Pak Man sebaik saja Rita menyatakan hajatnya.
"Err... daun sirih bertemu urat?" gumam Rita, spontan berpaling ke arah Zara. Sedikit kerutan terpamer di dahinya.
Zara sekadar menjungkitkan sedikit bahunya. Manalah dia tahu. Bukannya dia biasa dengan benda-benda sebegini.
"Err... minta maaflah Pak Man, limau nipis dan daun sirih biasa tu adalah. Yang bertemu urat tu tak tau pulak macam mana rupanya. Ingatkan bawa daun sirih biasa aje," sahut Rita sedikit terkilan. Nampaknya, sia-sia saja perjalanan mereka yang membawa hingga ke perkampungan kecil di kawasan Gombak itu.
"Mana daun sirihnya?" soal Pak Man ringkas.
Cepat saja Rita menghulurkan seikat daun sirih dari beg plastik di sisinya. Pak Man mencapai sehelai lalu diteliti sekeketika sebelum meletakkannya ke tepi. Beberapa helai lagi dicapai dan diletakkan ke tepi juga. Akhirnya, pencarian Pak Man terhenti.
"Haa... ada pun, ini dia." Pak Man mengunjukkan daun sirih kepada Rita yang segera menyambutnya. "Lain kali kalau datang berubat, bawa daun sirih yang macam ni. Nampak tak urat tu bertemu?" Pak Man melakarkan hujung jari telunjuknya di atas daun sirih itu mengikut lakaran urat-urat daun.
Kepala Rita sudah terangguk-angguk.
Bandingkan dengan yang ini... dan ini..." Pak Man menghulurkan beberapa helai daun sirih lagi.
"Oh... taulah saya. Ingatkan daun sirih jenis lain tadi..." sahut Rita lega sambil meneliti urat-urat daun sirih itu. Memang jelas kelihatan sepasang urat daun sirih itu yang bertemu di tengah-tengah sedangkan pada helaian daun yang lain ia tidak berkeadaan begitu.
"Kita mulakan sekarang ya..." ujar Pak Man sebaik saja Rita menyerahkan semula daun sirih bertemu urat itu.
Pak Man membetulkan silanya. Dia menaburkan sedikit kemenyan ke dalam bekas bara. Semerta asap putih mengapung di udara. Dia meraup-raupkan asap itu ke mukanya. Penuh perasaan dia menghidu asap itu sebelum mencapai daun sirih di sebelah bekas bara lalu turut diasapinya. Tunak matanya merenung daun sirih yang kini terdampar di telapak tangannya tanpa berkelip.
Entah apalah yang istimewanya daun sirih itu tidak tercapai dek akal Zara. Apa bezanya daun sirih yang bertemu urat dengan yang tidak, pun dia tidak tahu. Tidak terjangkau di fikirnnya benda-benda remeh sebegitu. Baginya, daun sirih tetap daun sirih. Salah satu benda wajib di dulang hantaran perkahwinan dan yang paling dia tidak lupa sirih adalah makanan kegemaran arwah neneknya. Dia sendiri pun pernah mengunyah daun sirih yang pedar pedas itu sewaktu kecil dahulu, semata-mata kerana teringin secantik emak degan bibir merah bak delima merekah.
"Pooh...poooh...poooohhh..." Tersembur air liur Pak Man kala meludah ke kiri dan kanan. Lama pula dia merenung ke dalam sebesen air di hadapannya. Beberapa hirisan limau nipis terapung-apung di permukaan air. Ditujah-tujahnya hirisan limau nipis itu beberapa kali.
Zara tidak dapat menumpukan perhatin. Jarum jam sudah merangkak ke angka 11.30 malam. Dia berasa tidak sedap hati. Kini hanya tinggal dia dan Rita saja. Alangkah bagusnya kalau isteri Pak Man turut serta. Malangnya, wanita separuh baya itu sudah masuk ke bilik kerana mengantuk.
Sesekali mata Zara melingas ke arah pintu dan tingkap yang ternganga. Hanya gelap pekat malam menabiri pandangannya. Dia kian seram.Mula memikirkan yang bukan-bukan. Terlintas di fikirannya siapalah yang membantu Pak Man jika bukan...
'Ya ALLAH, ya TUHANku, aku berlindung dengan-Mu dari syaitan yang direjam. Aku lebih takutkan-MU, ya ALLAH...' ungkap Zara di dalam hati.
"Zara, giliran kau..." sapa Rita sambil menepuk perlahan paha Zara membuatkannya tersentak.
"Err... tak jadilah, aku dah tukar fikiran. Jom, kita balik," bisik Zara.
"Apalah kau ni, susah payah kita redah datang sini," marah Rita perlahan. "Err... macam ni Pak Man... kawan saya ni pemalu sikit. Sebenarnya, dia nak minta tolong tengok-tengokkan..." bicara Rita lancar tanpa menghiraukan isyarat mata yang ditunjuk Zara. Sengaja dia buat tidak mengerti.
"Ohh... begitu..." Kepala Pak Man terangguk-angguk mendengar penerangan Rita. "Ada bawa kain batik basahan dan bunga tujuh warna? Ni nak kena mandi buang sial." Dia merenung sekujur tubuh gadis di hadapannya. 'Hmm... bergetah.' Dia mula membayangkan sesuatu yang indah. Janggutnya yang sudah memutih itu diusap perlahan.
'Cis, kurang asam Rita! Siap bawa bunga dan kain batik. Tadi katanya cuma nak suruh tengok-tengokkan. Ini apa cerita kalu dah masuk bab mandi? Hei, tak kuasa aku!' getus Zara di dalam hati. Geram bercampur marah melihat Rita mengeluarkan barangan yang dipinta oleh Pak Man dari beg tangannya. Patutlah membawa beg tangan besar hari ini. Segalanya disumbatkan di situ.
"Err...err... saya rasa tak sedap badan, lain kalilah..." Zara beralasan ingin lekas beredar dari situ.
"Mari, Pak Man tengok dulu kalau-kalau ada orang bagi pelalau. Izinkan saya..."
Zara yang terkebil-kebil cuba mencari makna pelalu di kamus otaknya, terperanjat. Tanpa sempat ditahan, tangan kanannya sudah dicapai. Pak Man khusyuk mengalinkan sebiji telur ayam kampung di lengan Zara. Mulut Pak Man terkumat-kamit sambil sesekali meniup-niup perlahan ke muka Zara. Telur itu beralih pula ke lengan kiri dan hati Zara kian bimbang. Tambah merisaukannya, kini telur itu sudah beralih arah. Dia terkejut bukan kepalang.
"Kami terpaksa pergi dulu," ujar Zara sekaligus menolak kasar tangan Pak Man yang baru saja mencecahkan telur itu ke dadanya lantas bingkas bangun.
Takut-takut berani dia terpaksa bertegas. Bimbang pula dia jika diguna-gunakan. Kejadian telah banyak berlaku. Tiada gunanya menyesal di kemudian hari. Ikutkan hatinya tadi, mahu saja disepaknya lelaki yang berani menceroboh kawasan larangannya itu. 'Cis, bedebah! Memang dasar lelaki miang! Di lengan meminta izin tapi di dada main lutu aje!' gerutu Zara jengkel.
"Maaf, Pak Man. Kawan saya ni tak sedap badan agaknya. Lain hari kami datang lagi," jelas Rita kalut menyeluk beg tangannya. Beberapa keping wang kertas berwarna merah diletakkan di atas tikar mengkuang berhampiran Pak Man.Kemudian tergocoh-gocoh dia menuruni anak tangga mengejar Zara. Hampir saja dia tersungkur tersadungkan selipar yang bersepah di hujung tangga.
"APA kena kau ni, Zara? Kalau tak berikhtiar macam tu, sampai bila?" marah Rita sebaik saja mereka berada di dalam kereta. Dia benar-benar terkilan dengan tindakan Zara tadi.
"Golek telur kat dada aku kemudian biarkan dia tengok badan aku kuyup mandi, itu ke ikhtiarnya?" bidas Zara geram. "Lepas tu apa pulak? Entah-entah suruh masuk ke bilik... Huh, aku ingat nak terajang aje orang tua gatal tak sedar diri tu tadi," seranahnya melepaskan geram. Buan dia tidak perasan mata Pak Man melingas bagai mahu meratah tubuhnya tadi.
"Hisy, mulut... ke situ pulak fikirnya. Dahlah tadi perbuatan kau tu mungkin buatkan dia terasa hati," tegur Rita.
Baginya, cabul benar mulut Zara mengutuk Pak Man yang banyak 'ilmu' itu. Tiba-tiba dia melihat kelibat Pak Man yang berdiri tegak di muka pintu memandang ke arah mereka. Tidak ke haru andainya orang tua itu ada 'kepandaian' mendengar perbualan mereka sementelah masih di perkarangan rumahnya. Lantas dia pantas menghidupkan enjin kereta lalu cepat-cepat beredar dari situ.
"Aku lebih pentingkan diri aku ni." Jari telunjuk Zara menunjal-nunjal dadanya sendiri penuh perasaan. "Kau tau tak Rita, aku takut silap hari bulan lain pula jadinya nanti. Kau pun satu, ada ke patut kau tak bagitau aku ada bab kena mandi berkemban. Kalau aku tahu, sumpah tak ingin aku ikut kau!" tambahnya geram.
"Haa... kalau kau nak tau, itulah sebabnya aku tak nak cakap awal-awal. Mesti kau takkan setuju. Lagipun apa salahnya? Kan ke itu cuma satu ikhtiar?" balas Rita selamba.
"Tak salah kau kata?" Zara menjegilkan matanya macamlah Rita boleh melihatnya dalam gelap itu. "Aku tak mau. Banyak lagi cara lain. Lagipun aku tak berkenan cara dia. Banyak yang terpesong. Jampi serapahnya pun setakat mula-mula aje sebut kalimah ALLAH, lepas tu melalut ke lain. Ada ke patut suruh seorang isteri rendam air seluar dalam bagi suami minum? Kau tergamak?" soal Zara mengerling Rita. Itulah petua yan didengarinya diturunkan oleh Pak Man kepada seorang wanita terdahulu daripada mereka tadi.
"Hisy, kau ni... itu orang lainlah. Dia cuma suruh aku beri minum ini haa... Halal, suci dan bersih," sahut Rita. Tangan kirinya menepuk sepaket gula pasir dan sebotol air yang sudah dijampi. Sedikit kepuasan terbayang di wajahnya.
"Dan kau percaya?" Hmm... kalau tak jalan, kesian Abang Nazri. Terpaksa minum koktel seluar dalam," sindir Zara. "Lepas tu pulak agaknya ada resepi nasi kangkang menyusul."
"Hei, ke situ pulak kau ni," pintas Rita sebelum temannya itu melalut lebih jauh. "Eh, aku tak tergamaklah. Ini pun aku cuma anggap sebagai ikhtiar untuk memulihkan hubungan kami suami isteri. Dia nampaknya makin jauh.." keluhnya perlahan. Riak wajahnya bertambah muram.
"Kau tu yang garang sangat, asyik syak wasangka. Balik lewat sikit dah kena soal siasat, mana dia tahan. Aku tak hairan kalau dia cari kedamaian di tempat lain. Cubalah ubah sikit sikap kau tu," nasihat Zara, maklum sifat cengil sahabatnya itu sejak akhir-akhir ini.
"Pandailah nasihatkan orang, awak tu macam mana?" tempelak Rita.
"Macma mana apanya? Aku tak menyusahkan orang. Aku pun tak faham yang orang ni semua nak sibuk-sibuk kisahkan hal aku buat apa? Aku punya hidup, aku punya sukalah..." bebel Zara seakan berang.
Rita hanya mendiamkan diri, tidak kuasa memanjangkan cerita. Dia tahu isu ini amat sensitif bagi temannya itu. Dia lebih menumpukan perhatian terhadap pemanduannya. Jalan kampung yang tidak rata dan berlubang di sana sini itu menuntut dia agar lebih berhati-hati.
"Yang penting sekarang masalah kau tu, bukannya aku." Suara Zara mengendur, perasan mungkin temannya terasa hati akan kata-katanya yang sedikit kasar tadi. "Jaga suami kau tu baik-baik. Cuba maniskan muka tanya dia elok-elok. Ini tidak, asyik nak menyergah aje. Muka pulak macam cuka tumpah, mana dia tak boring. Aku rasa kau tak perlukan gula dan air ni kalau kau ubah taktik dengan berlembut. Tentu dia cair," saran Zara. Dia tidak berapa berkenan dengan cara yang bakal dilakukan oleh Rita untuk menawan hati suaminya.
Rita mendengus geram. Apalah yang Zara tahu akan perihal rumah tangganya. Tentang dirinya yang sangat tertekan sejak akhir-akhir ini. Dia sendiri tidak tergamak hendak bercerita secara terperinci. Hanya setakat kulitnya saja. Dia belum bersedia meluahkan segalanya. Maruah dirinya dan suami perlu dijaga.
Thursday, July 26, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Nice blog :)
salam kenal sobat :)
di tunggu kunjungan balik.nya ya !terimakasih ...
Xde novel baru ke kak ika? Rindu r nak baca novel akak...
Salam kenal, outbound...
zara... hrp bersabar ya, dah ada nanti k.meen uar2kan...
Assalammualaikum.. Salam ukhuwah.. I m new blogger.. Harap dapat beri tunjuk ajar bagaimana utk menjadi blogger yg baik
Post a Comment