Monday, July 23, 2012

FRAGMEN WARNA HATI...

                                                                       
                                                                       Bab 1

     ASAP di dalam bekas bara kian menipis. Pak Man menaburkan sesuatu ke dalam bekas bara itu. Bau kemenyan dibakar, kuat menusuk ke lubang hidung. Serta-merta asap berkepul-kepul mengapung di udara. Sepantas kilat Pak Man meraup asap itu lalu menyapu ke mukanya. Perbuatan itu diulangnya beberapa kali sehingga dia kelihatan puas.
     Tiba-tiba tingkah Pak Man berubah. Dia merenung seketika seorang lelaki berwajah cengkung  yang duduk di hadapannya. Muka Pak Man berubah garang. Mulutnya terkumat-kamit. Intonasi suaranya yang hampir tidak kedengaran tiba-tiba berubah nada. Tempikannya seolah-olah mengegarkan seisi rumah.     
     Seorang wanita separuh baya dan seorang pemuda yang duduk di sisi lelaki cengkung itu jelas tersentak. Wanita itu mengurut-urut dadanya. Terkejut barangkali.
      Zara dan Rita yang berada di situ turut terkejut. Mereka saling berpandangan. Tertanya-tanya di dalam hati, bahasa apakah yang dipertuturkan oleh Pak Man? Pelik benar bunyinya. Macam gaya bahasa orang asli pun ada.
     "Ita, kita balik ajelah... aku seramlah..." bisik Zara. Matanya melingas.
     Dia tidak selesa berada di ruang tamu yang suram itu. Hanya diterangi sebuah mentol bulat berwarna kuning. Ragam Pak Man ketika 'menurun' membuatkan dia bertambah takut. Kepalanya sudah pening-pening lalat dek bau asap kemenyan. Namun, jelingan tajam Rita spontan membuatkan dia terdiam. Dalam hati, dia menyesal pula kerana termakan pujukan temannya itu petang tadi.
     Pandangannya dialihkan semula ke arah Pak Man. Lelaki itu khusyuk merenung sebesen air di hadapannya. Mulutnya terkumat-kamit. Membaca jampi serapah barangkali. Sebilah pisau di tangannya tidak semena-mena ditusukkan ke dalam besen dengan penuh perasaan. Api amarahnya sudah tidak terkawal lagi. Riak wajahnya bertambah bengis.
     Bersama tempikan nyaring, Pak Man bingkas bangun membuka langkah. Dia bergelut beria-ia. Entah dengan siapa atau apa hanya Pak Man saja yang tahu. Seketika kemudian dia duduk kembali. Matanya terpejam, seakan bertafakur. Dadanya berombak-ombak, turun dan naik dengan deras. Peluh merenik-reik di wajahnya yang berkerut.
     Beberapa saat kemudian Pak Man membuka mata. Meliar bebola matanya mengawasi sekeliling. Mulutnya terkumat-kamit. Entah dari mana, tiba-tiba sekeping kertas terbang melayang-layang lalu jatuh ke dalam besen. Sepantas kilat Pak Man menyambar kertas yang basah itu lalu diunjukkannya kepada wanita yang duduk di hadapannya.
     Berkerut-kerut dahi wanita itu meneliti kertas di tanganya. wajahnya semerta berubah muram. "Sampainya hati Pak Leh kamu. Tergamak dia buat ayah kamu sampai macam ni. Busuknya hati dia. Kerana tanah sekangkang kera tu, sanggup dia guna-gunakan adiknya sendiri. Dasar tamak, semua harta nak dibolotnya..." keluh wanita itu tatkala pemuda di sebelahnya turut menjengah cuba mengintai potret wajah siapa yang tertera di situ.
     Rita memandang dengan penuh minat. Kagum benar dia akan kehebatan Pak Man. Betullah apa yang didengarnya selama ini. Pak Man memang handal dalam hal sihir-menyihir. Sejak tadi lagi dia hairan. Pak Man yang bersila di tempatnya mengarahkan seorang wanita muda berdiri berhampiran tingkap sambil menggenggam tangan yang dihulurkan ke luar tingkap. Sebaik genggamn dibuka, sebiji batu kecubung berwarna ungu tergolek di telapak tangannya. Rita bagaikan melihat persembahan silap mata ala-ala Fuyoo Magik pula lagaknya. Kini, Pak Man pula melakukannya.
      "Jadi, sekarang ni macam mana? Nak pulangkan semula pada yang menghantarnya?" soal Pak Man.
     Si bapa hanya mematung dungu. Pandangannya tertampan ke satu arah. Merenung tanpa berkelip.
     "Tak payahlah, Pak Man. Tak tergamak saya. Macam manalah dia sanggup melakukannya. Yalah,.. walaupun berlainan ibu, mereka tetap adik-beradik. Bahagian yang dia dapat pun jauh lebih banyak. Berelung-relung tanah sawah pun masih tak cukup lagi? Rumah pusaka itu pun hendak direbutnya. Itu ajelah tempat kami berteduh dari panas dan hujan," keluh wanita itu sambil mengesat air jernih yang terbit di tubir matanya dengan hujung jari.
     Pak Man hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum.
     "Biarlah ALLAH saja yang membalasnya. Saya cuma hendak ikhtiarkan agar suami saya ni pulih semula. Tak sanggup saya tengok dia dah macam mayat hidup," kata wanita itu lagi sambil merenung suaminya yang kurus cengkung dan pucat lesi.
     Lelaki itu yang dulunya gagah berubah sekelip mata. Makan dan minumnya tidak dihiraukan. Tidur apatah lagi. Tidak pernah lagi dia melihat suaminya itu melelapkan mata walaupun sepicing. Kerjanya saban hari tiada lain hanya termenung. Entah apa yang dilihatnya hinggakan kadangkala matanya terbeliak ketakutan.
    Zara sendiri takut melihat keadaan lelaki itu. Tubuhnya yang kurus dan cengkung seperti rangka bergerak. Ditambah pula dengan matanya yang tersembul sedikit kelihatan meliar semacam. Awal tadi pun dia sudah tidak sedap hati dan kecut perut apabila Pak Man bertempik marah mengatakan ada sesuatu yang bertenggek di bahu lelaki itu sebaik saja dia menginjak anak tangga. Langkah pemuda dan wanita yang mengiringinya sambil menuntun tangan lelaki itu yang kelihatan enggan melangkah turut terhenti. Jelas benar mereka terkejut yang amat dengan kata-kata Pak Man tadi.
     Zara lihat mulut Pak Man terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembus ke arah tangannya yang digenggam erat sebelum melontarkannya ke arah lelaki itu. Entah apa yang dilontarkannya tidak tertangkap dek mata kasar Zara. Saat itu juga dia ingin pulang, takutnya bukan kepalang. Namun, Rita tetap berdegil. Zara tiada pilihan kerana dia datang menumpang kereta temannya itu.
     Kini, hanya tinggal mereka berlima di samping Pak Man. Sepatutnya tadi giliran mereka, tapi terpaksa memberi laluan kepada lelaki kurus cengkung itu. Manakan tidak, tiba-tiba saja dengan tidak semena-mena lelaki itu bertempik meracau sambil meronta-ronta. Melihatkan dua orang yang mengiringinya itu sukar mengawal keadaan, Rita memandang sekilas ke arahnya lantas memberi isyarat agar mereka mendahului mereka. Walaupun berat hati, namun Zara terpaksa bersetuju dengan tindakan Rita itu. Bimbang juga dia jika mereka dipengapakan oleh lelaki yang dilihat seperti tidak siuman itu.

No comments: